Archive for the ‘Resipi’


Sambal Tumis Udang Petai & Tomyam Ayam

Saya MC hari ini. Tak sihat. Tapi, dalam tak sihat saya tu, sempat lagi ke Giant, shopping barang dapur. Hehehe :p

Malam ini, saya masih lagi tidak berapa sihat. Tapi, suami saya asik merengek mahu makan petai, saya gagahkan diri juga ke dapur dan memasak.

Menu saya dan suami untuk malam ini biasa-biasa sahaja. Mungkin ramai yang dah tahu resipi nya. Tapi, tak mustahil juga ada anak-anak dara yang bakal mendirikan rumah tangga tidak lama lagi, masih mencari-cari resipi Sambal Tumis Udang Petai dan Tomyam Ayam ini. Apapun, anda semua boleh juga berkongsi rahsia resipi masing-masing bagi menambahkan lagi kelazatan menu ini :)

Resipi 1: Sambal Udang Petai

Sambal Tumis Udang Petai

Sambal Tumis Udang Petai

Bahan-bahan:

3 ulas bawang merah

3 ulas bawang putih

7 - 10 batang cili kering

1 ulas bawang besar

1/4 cawan air asam jawa

Sedikit gula dan garam

Udang

Petai (yang ni bahan paling penting :P)

Cara-cara:

1) Bawang merah, bawang putih, bawang besar dan cili kering dikisar bersama

2) Tumiskan bahan-bahan yang dikisar sehingga pecah minyak. Kemudian tambahkan air asam ke dalam tumisan tadi.

3) Kemudian, masukkan udang tadi dan juga petai. Tunggu sehingga masak.

4) Sedia dihidang!

Resipi 2: Tomyam Ayam

Tomyam Ayam

Tomyam Ayam

Bahan-bahan:

300g ayam (dipotong kecil - ambil bahagian tulang)

Lobak merah

Bunga kobis

Kacang Buncis

Tomato

Baby Jagung

2 biji Kiub Tomyam Knorr

1/2 cawan air asam

4-5 biji cili padi (potong kecil atau ditumbuk sedikit)

1 ulas bawang besar (dipotong 8 )

Cara-cara:

1) Rebus air sehingga mendidih. Kemudiam masukkan kiub tomyam Knorr dan juga ayam.

2) Rebus ayam sehingga agak empuk, kemudian masukkan lobak merah dahulu.

3) Setelah lobak merah anda mula menjadi sedikit lembut, baru masukkan sayur-sayur yang lain.

4) Untuk jadikan tomyam lebih masam dan juga sedikit pedas, tambahkan air asam dan juga cili padi ke dalam tomyam. Ops.. jangan lupa masukkan sedikit garam dan gula bagi menyempurnakan rasa tomyam anda :)

5) Agak-agak sayur dah mula lembut, boleh la matikan api dapur anda. Tomyam kini sedia dihidang!

P/s: Kombinasi tomyam ayam dan sambal udang memang sangat sesuai untuk disajikan buat hidangan makan tengahari mahupun malam. Suami saya makan memang dah tak toleh kiri kanan. Tambah pula makanan kegemaran dia ada, iaitu petai. Makan tomyam pun dia masukkan petai juga. Hohoho :p

Durian

Durian ni memang buah kegemaran saya ^_^. Kalau dulu saya boleh habiskan beberapa biji durian seorang.

“Mmmph… Sedapnya hingga menjilat jari”

Tapi, sejak berkahwin ni, jarang sangat nak dapat makan durian. Nak buat macam mana, suami memang tak makan durian. Haisy! ;)

Semalam, kebetulan saya pulang ke kampung bersama suami (hoho… time hari kerja pun boleh balik kampung? :p ) Jadi, singgah sekejap rumah makcik untuk makan tengahari (hehe, malas nak masak :p) Kebetulan juga, ada durian kat rumah dia. Yea!!!! Setelah perut kekenyangan melantak santapan tengahari, perut saya masih lagi punyai ruang untuk diisi. Sudahnya, saya habiskan sepinggan besar durian seorang. Mula ingat nak makan 2 3 ulas je. Tapi, makan-makan sambil berbincang isu-isu politik semasa, tak sedar rupanya habis licin satu pinggan. Hehe.

Akibatnya, badan saya kepanasan dari semalam sampai ke hari ni. Tekak dah mula sakit. Hidung dah mula tersumbat. Cuma belum demam je lagi ;)

Ada orang yang suka makan buah durian dan apa-apa juga masakan yang berasaskan durian. Contoh macam kuah durian (orang Perak panggil serawa), tempoyak, dan sebagainya.

Ada orang tidak suka makan durian, tapi suka pulak makan tempoyak. Hmm.. Musykil ni.

Tapi saya, suka sangat makan buah durian, tapi tidak masakan yang berasakan durian ^_^

Jadinya, saya memang tidak dapatlah nak berkongsi resipi dengan puan-puan bagaimana cara membuat tempoyak, serawa dan sebagainya. Saya tak makan, dan saya tak tahu pun cara nak buatnya. Tapi, saya sediakan beberapa link untuk resipi masakan yang berasaskan durian untuk dikongsi bersama.

Kek Durian

Mungkin puan-puan ada lagi beberapa resipi masakan yang berasakan durian. jadi bolehla anda kongsikannya bersama di sini :)

Selamat Mencuba!

Homemade Bread Crumbs

Mungkin ada di antara kita yang tidak makan kulit roti. Kalau beli roti tu, cuma bahagian putihnya saja yang di makan. keliling roti dibiarkan dan dibuangkan.

Kadang-kadang tu, sayang juga kalau kita buang begitu sahaja. Kan membazir namanya :) Ada guna juga kulit roti tu. Jadi, hari ini saya akan berikan resipi bagaimana cara kita nak buat bread crumbs sendiri :)

Selain jimat kan duit untuk beli bread crumbs di kedai, kita pun tak la membazir buang kulit-kulit roti tu.

Bahan-bahan yang diperlukan:

- Kulit roti

Cara-caranya:

- Bakar kulit-kulit roti tersebut dalam oven sehingga kering dan garing

- Kemudian kisarkan bahan itu tadi sehingga halus

Senang kan? :) Boleh simpan dalam tupperware supaya bread crumbs yang dihasilkan lebih tahan lama. Selepas ni, boleh la buat chicken chop sendiri di rumah ;)

Selamat mencuba!

Nugget Roti

Resipi ni saya dapat lebih kurang 2 tahun yang lepas dari salah sebuat laman web yang menghimpunkan ribuan resipi. Saya dah cuba resipi yang diberikan ini, hasilnya… memang BEST! Housemate saya ketika itu (waktu zaman anak dara ^_^), semuanya tak sangka nugget yang saya buat tu sebenarnya dari roti. Masing-masing ingatkan nugget ayam yang kita selalu beli dr TESCO, Giant, Carrefour, etc.

Resipi ni amat sesuai dihidang ketika minum petang. Bagi mereka yang punyai anak yang memang gemarkan makan nugget, apa salahnya kita cuba buat nugget sendiri. Kerja nya tidaklah remeh sangat, dan yang pasti kosnya jauh lebih murah dari harga sepeket nugget ayam.

Bahan-bahannya (versi saya. Saya ubah serba sedikit dari resipi asal)

1 buku roti (wholemeal - jenama TESCO pun ok)*

4 biji telur (gred B)

1 ulas bawang besar (dipotong dadu -kecil)

Daun sup

Daging / Ayam cincang

Sedikit garam

Cili (merah/hijau - dipotong halus)

Breadcrumb

Cara-caranya:

1. Roti dikoyak-koyak halus

2. Masukkan bawang, cili, daun sup, garam dan daging/ayam cincang

3. Gaulkan bersama 4 biji telur tadi dan bulat-bulatkan sambil ditekan padat (jadikan seperti bebola).

4. Gelekkan bebola roti ke atas breadcrumb supaya bebola tadi betul-betul nampak seperti meatball / chickenball yang kita beli dari pasaraya

5. Goreng dalam minyak yang sederhana panas (sentiasa balik-balikkan supaya roti masak sekata)

Tips:

* Saya syorkan supaya puan-puan beli wholemeal bread supaya bebola yang dihasilkan lebih padat dan tidak terlalu lembik. Saya pernah cuba untuk menggunakan roti putih biasa, tapi hasilnya bebola roti terasa hanyir dan terlalu lembik untuk dibentuk menjadi bulat.

* Tidak perlu membeli roti berjenama yang mahal, cukup sekadar roti biasa seperti roti TESCO, roti Giant dan sebagainya.

* Boleh dimakan dengan sos biasa. Sedap…. Macam makan nugget ayam la :)

p/s: Saya akan post kan gambar bebola ini lain kali ye.

New From Pizza Hut!

Dua hari lepas, saya dan suami pergi menuju ke Pizza Hut. Gara-gara saya ternampak iklan Pizza Hut yang baru ni sebulan yang lepas. Hehehe. Nampak macam sedap, jadi mulut saya tak sabar-sabar nak merasa pizza yang baru ini.

Semasa mengambil order, saya ternampak juga pasta baru dari Pizza Hut. Sesame Chicken Spagetti. Dan sememangnya saya SUKAAAA bangat makan spagetti.

Dengan muka yang comel, saya menagih simpati dari suami agar membenarkan saya order lagi satu jenis makanan. Oh ya, pizza yang baru tu untuk 2 orang makan ye. Hehehe

Selepas 10 minit menunggu, spagetti saya pun sampai. Bersesuaian dengan harganya yang cuma RM6.90, jadi tentu anda semua boleh bayangkan betapa ‘BANYAK’ nye spagetti itu.

Tape, tak kesah la semua tu. Janji perut dan mulut saya tidak sabar-sabar lagi nak merasa ke’sedap’an spagetti itu. Tetapi, suami tetap didahulukan. “Sila makan ye bang…”. Saya masih menanti dengan sabar untuk tunggu turn bila boleh makan spagetti ni.

Dengan perasaan ingin tahu yang berkobar-kobar, saya pun terus bertanya pada suami, “Cene… sedap tak?”

Suami buat muka kelat nya… sambil berkata, “Macam pelik je rasanya”

Saya tak puas hati. Dengan pantas mengambil garfu lalu memasukkan spagetti ke dalam mulut saya. Gulp…. Reaksi yang sama. Muka kelat juga. “Err… tak sedapnya. Manis gila sos dia”

Sudahnya, cuma 2 suap sahaja kami lalu untuk makan spagetti tersebut. Komen saya, ntahla… mungkin tidak sesuai dengan selera saya. Yang pasti (bagi saya):

1. Sosnya terlalu berminyak. Sangat banyak minyak

2. Manis sangat…. (nama pun sesame.. sudah tentu diorang masak guna minyak bijan)

3. Sangat tak sesuai untuk dijadikan sos spagetti. Menyesal tak order bolognaise spagetti :(

Tetapi, sesiapa yang sukakan bijan dan keluarganya… tak salah anda mencuba! :)

Mixed Salad

Petang semalam tiba-tiba teringin sangat nak makan salad. Mimpi apa ntah. Sebab nye saya ni bukan lah penggemar sayur ^_^. Mujurlah suami memang seorang sukakan semua jenis sayuran, jadi tak la rasa sia-sia sangat kalau saya buat salad untuk juadah makan malam.

Mixed Salad

Bahan-bahannya:

(Bahan A)
- Daun salad
- Chicken poppers (digoreng dan dipotong kecil)
- Bunga kobis
- Lobak merah (dipotong kiub)
- Anggur hijau (seedless)
- Epal hijau (dipotong kiub)
- Timun (dipotong kiub)
- Udang (direbus)
- Baby Tomato (dipotong dua)

(Bahan B - Dressing)
- Mayonis
- Sos cili
- Jus lemon

Cara-caranya:

1. Gaulkan semua bahan A ke dalam mangkuk besar
2. Dalam mangkuk yang berlainan, campurkan kesemua bahan B untuk dijadikan dressing bagi salad kita ini (mengikut citarasa masing-masing).
3. Kemudian, gaulkan bahan A dan dressing tadi bersama-sama
4. Sedia untuk dihidang

p.s. Boleh juga gunakan Thousand Island sebagai ganti kepada dressing yang anda sediakan sendiri.

Makaroni Sup

Makaroni sup adalah salah satu masakan yang sering mak saya masak sewaktu kecil dulu. Ini antara masakan yang paling simple untuk dimasak, yet berkhasiat and sedap sangat :)

Malam lepas, saya dan suami sampai di rumah lebih kurang jam 9. Setelah penat seharian menghadiri kenduri dan juga menjenguk ofis (ada program yang dijalankan), saya agak keletihan untuk masuk ke dapur dan memasak. Tapi, demi suami.. masak tetap masak :)

So, let’s start cooking!

Bahan-bahan yang diperlukan:

(Bahan A)
- Makaroni (dibasuh terlebih dahulu)
- 2 hingga ke 3 biji kentang (dipotong kecil)
- Daging / ayam (dipotong kecil)
- Lobak merah (dipotong dadu - saiz besar)
- Bebola ikan (kalau ada)
- sedikit garam (mengikut rasa)

(Bahan B)
- 3 ulas bawang merah (ditumbuk)
- 2 ulas bawang putih (ditumbuk)
- sedikit lada putih (ditumbuk)
- bunga lawang dan kayu manis

(Bahan C - untuk hiasan)
- Daun Sup
- Bawang Goreng
- Cili merah (dihiris)

Cara-caranya:

1. Panaskan sedikit minyak di dalam periuk dan tumis semua bahan B sehinga naik bau.
2. Kemudian, masukkan sedikit air untuk dijadikan sup.
3. Masukkan daging / ayam dan tunggu sehingga bahan tadi separa lembut.
4. Kemudian masukkan kentang dan lobak merah.
5. Setelah kentang dan lobak merah agak-agak separa empuk, masukkan makaroni, bebola ikan dan sedikit garam ke dalam masakan.
6. Tunggu sehingga makaroni kembang dan sedia diangkat.
7. Untuk hiasan dan menambahkan lagi aroma sup anda, taburkan daun sup, bawang goreng dan cili merah yang dihiris halus tadi ke dalam masakan anda.

Selamat mencuba!

p.s. Bagi mereka yang tidak berapa sukakan masakan pedas, kurangkan sedikit pengambilan lada putih dalam sup anda.